Saturday, October 23, 2010

KAMPUNG KOKOL MENGGATAL >> DESTINASI PARAGLIDING

Kampung Kokol

Kampung Kokol terletak 40 km dari Bandar Raya Kota Kinabalu dan kira-kira 10 km dari Pekan Menggatal. Sebelum sampai ke Kampung Kokol, pengunjung akan bertemu sebuah jalan yang bernama Jalan Kokol-Poring-Poring dan Klinik Kesihatan Pekan Menggatal. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba di Kampung Kokol daripada Pekan Menggatal.
Sepanjang perjalanan menuju ke Kampung Kokol, ia seperti memasuki hutan yang belum diterokai dan jalan menuju ke kampung juga belum lagi diturap. Namun, apa yang menarik hati pengunjung ketika tiba di sini ialah pemandangannya yang begitu indah dan menarik. Kedudukannya yang terletak di atas kaki bukit menyebabkan pengunjung dapat melihat Gunung Kinabalu yang tersergam indah serta seluruh Bandar Raya Kota Kinabalu. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat Laut Cina Selatan yang membiru, Pulau Gaya yang berbalam-balam serta bangunan kemegahan rakyat Sabah iaitu Menara Tun Mustapha.
Papan tanda yang diletakkan di sepanjang perjalanan membantu para pengunjung yang datang ke kampung ini . Sebuah batu besar menjadi mercu tanda bahawa pengunjung sudahpun berada di Kampung Kokol. Suasana di sini begitu sejuk pada waktu pagi dan malam. Aktiviti utama penduduk di kawasan  ini adalah bercucuk tanam. Melalui aktiviti inilah mereka menjana sumber pendapatan mereka.

Populai penduduk
Terdapat kira-kira 500 orang penduduk yang menetap di Kampung Kokol. Kebanyakan penduduk di kampung ini merupakan suku kaum Dusun. Jika dilihat dengan mata kasar, penempatan di kampung ini merupakan sebuah penempatan yang tidak dirancang. Rumah penduduk tidak berfokus kepada satu tempat sahaja, begitu juga dengan pembangunan di kampung ini. Rumah penduduk di kampung ini kebanyakannya dibina daripada papan. Ada di antara penduduk di kampung ini membina rumah mereka di atas bukit kerana ingin melihat pemandangan yang cantik dan suka kepada suasana sekelilingnya yang sejuk.
Masyarakat Kampung Kokol ini begitu sinonim dengan penanaman getah. Namun, mereka hanya mengusahakan tanaman tersebut secara kecil-kecilan. Mereka menjalankan aktiviti penanaman untuk menampung kehidupan seharian mereka. Bagi golongan belia pula, ramai di antara mereka bekerja di sektor awam dan swasta di Pekan Menggatal dan sekitar Kota Kinabalu. Cendawan juga agak terkenal di kampung ini kerana terdapat beberapa keluarga yang mengusahakan tanaman ini di sekitar kampung. Secara keseluruhannya, golongan tua dan golongan muda di Kampung Kokok sama-sama memerah tenaga untuk mendapatkan sumber pendapatan serta memajukan lagi pembangunan kampung mereka. Golongan kanak-kanak juga semakin mendapat perhatian kerana merekalah yang akan menjadi pemangkin masa depan negara.

Terdapat beberapa buah kampung yang berdekatan dengan Kampung Kokol iaitu Kampung Sinagung, Kampung Togung, Kampung Tombongan dan Kampung Bambangan. Para penduduk di kampung-kampung ini saling bergantung antara satu sama lain. Mereka sentiasa bekerjasama dan bantu membantu dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Mereka berhubung menggunakan jalan darat serta berkongsi kemudahan asas. Contohnya, terdapat penduduk di kampung sekitar yang menghantar anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kokol. Sekali gus, ia menambahkan keakraban dan kemesraan antara penduduk di Kampung Kokol dengan penduduk di kampung-kampung sekitar .
Selain itu, Pekan Menggatal juga terletak berhampiran dengan Kampung Kokol. Kebanyakan urusan penduduk kampung dilakukan di pekan yang menyediakan pejabat pos, balai polis, perhentian bas dan bank sekali gus memudahkan serta membantu segala urusan harian masyarakat setempat.

Penyumbang Pembangunan Kampung
Sememangnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Kokol sentiasa menunjukkan komitmen mereka untuk meningkatkan pembangunan serta kemajuan kampung. JKKK juga sentiasa membantu penduduk kampung sekiranya mereka  menghadapi sebarang kesulitan. Pihak JKK Kampung Kokol sentiasa bermesyuarat dengan penduduk kampung terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan kerana mereka menjadi sumber penyalur atau orang tengah antara penduduk kampung dan wakil rakyat. JKK Kampung Kokol juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah di kampung  untuk menjana pembangunan dalam sturuktur pendidikan di kampung .
JKK Kampung Kokol juga sentiasa memberi bantuan kepada golongan cacat, warga emas serta penduduk kampung yang memerlukan kewangan. JKK Kampung Kokol biasanya memperoleh peruntukan bantuan daripada wakil rakyat. Adanya peruntukan ini, JKKK dapat memperbaiki jalan-jalan kampung, membina paip air serta memperbaiki kemudahan asas yang ada. Dalam usaha untuk meningkatkan hasil penanaman getah di kampung , pihak JKKK juga telah membuat kerjasama dengan pihak Lembaga Getah Kota Kinabalu (LGKK) untuk pembantu penduduk kampung yang mengusahakan penanaman getah. Pihak LGKK  akan datang ke Kampung Kokol dua kali sebulan untuk membantu penduduk kampung meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Sejarah Kampung Kokol
Kampung Kokol mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Menurut cerita orang-orang tua di Kampung Kokol, nama kampung  diambil mengikut keadaan tanahnya yang cerun dan landai. Cerun landai mengikut bahasa Dusun  ialah “painkokol-koko”. Bertitik tolak daripada perkataan tersebut, nama kampung  dipanggil sebagai Kampung Kokol.
Pada masa dahulu, kawasan ini mempunyai ramai penduduk. Banyak batu-batu nisan dijumpai semasa penduduk kampung menebang serta membersihkan kawasan kampung. Pokok buah-buahan juga banyak tumbuh di sini seperti langsat, durian, rambutan dan buluh. Pada zaman Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menangkap orang-orang Cina dan membawa mereka ke Kampung Kolok untuk memancung kepala tawanan-tawanan tersebut. Mayat-mayat  mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah gua yang besar dan terbelah dua. Selepas perang, ramai penduduk dari Ulu Tuaran datang bekerja di kebun-kebun Cina di Daerah Menggatal sebagai penoreh getah dan pemotong rumput. Di sinilah bermulanya keinginan mereka untuk membeli tanah sendiri di Kampung Kokol.



Aktiviti sara hidup  

Kebanyakan penduduk di Kampung Kokol melibatkan diri dalam pelbagai jenis pekerjaan untuk menjana kehidupan mereka. Ada di antara mereka yang menoreh getah, menanam cendawan, menternak kerbau dan mengusahakan dusun durian secara kecil-kecilan. Ada juga yang mengusahakan tanaman cendawan dan memasarkannya di kawasan sekitar kampung dan Kota Kinabalu.

Di Kampung Kokol, pertanian dijalankan secara kecil-kecilan. Kebanyakan penduduk kampung menjadikan hasil pokok getah sebagai sumber pendapatan mereka. Walaupun tidak dijalankan secara besar-besaran tetapi ia mampu memberikan sumber pendapatan kepada mereka. Ada juga di antara penduduk kampung yang menanam cendawan secara kecil-kecilan dan hanya melibatkan sumber tenaga dari ahli keluarga. Cendawan-cendawan ini turut dijual di pekan sekali gus menjana pendapatan mereka. Ia mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusaha-pengusaha cendawan di kampung ini.

Pelancongan
Selain itu, walaupun Kampung Kokol  terletak jauh dari kesibukan kota, terdapat sebuah tempat pelancongan yang menarik iaitu Kasih Sayang Boutique Health Resort & Spa. Boutique Health Resort & Spa ini dimiliki oleh CK Tan dan ia terletak berhampiran dengan kawasan air terjun di mana salah satu daripada air terjun  tersebut merupakan punca air kepada penduduk kampung. Resort ini telah mula beroperasi pada bulan Disember 2007 dan seramai 13 orang pekerja berkhidmat di sini. Ia mempunyai 16 bilik, satu bilik spa, satu lounge dan satu restoran. Apa yang menarik di sini ialah pengunjung boleh melihat pemandangan yang menarik seperti Bukit Kokol dan melihat matahari terbenam. Memandangkan resort ini terletak jauh di pedalaman, maka pihak pengurusan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pengunjung yang ingin menginap di sini.
Bagi menjalankan tanggungjawab sosial organisasi, Kasih Sayang Boutique Health Resort & Spa telah mengambil langkah menggaji pekerja di kalangan penduduk Kampung Kokol. Selain itu, resort ini juga mengambil langkah membina saluran paip untuk menyalurkan air kepada penduduk setempat. Pihak pengurusan resort  juga sering memberi ceramah kesihatan dan biasanya ia akan dihadiri oleh para tetamu daripada Singapura, Oman, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak. Kemudahan yang ada serta pemandangan yang begitu cantik sudah pasti akan memikat sesiapa saja yang datang berkunjung ke resort ini. Dengan adanya pakej-pakej menarik yang ditawarkan oleh resort ini, ia sudah pasti akan menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke sini.

Keusahawanan
Kampung Kokol juga terkenal dengan perusahaan cendawan. Terdapat empat buah keluarga yang mengusahakan penanaman cendawan di sini. Mereka mengusahakan penanaman cendawan untuk menjana kehidupan seharian di mana cendawan-cendawan ini di pasarkan di sekitar kampung dan di Pekan Menggatal.  Ponguk yang telah pun mencecah umur 60 tahun merupakan salah seorang pengusaha cendawan di Kampung Kokol dan beliau baharu berjinak-jinak dengan penanaman cendawan dua tahun yang lalu. Beliau menanam  tiga jenis cendawan iaitu cendawan tiram, telinga tikus, dan abolon. Cendawan-cendawan ini ditanam di satu kawasan yang agak redup berdekatan dengan rumahnya. Kawasan yang redup dan lembap akan menyuburkan lagi penanaman cendawan.

         Pada mulanya beliau dan keluarga hanya menanam 150 peket cendawan dan setiap satu peket berharga RM0.85 sahaja. Memandangkan kedudukan kampung agak tinggi, cuaca yang sejuk telah memberikan impak yang postif terhadap penanaman cendawan. Jumlah pendapatan beliau mampu mencecah sehingga RM2,000 sebulan dan akan meningkat sekiranya cuaca baik dan banyak permintaan pasaran. Biasanya beliau akan memasarkan cendawan di sekitar Likas, Penampang dan juga di pasar raya sekitar Pekan Menggatal pada harga RM 1.00 sekilo. Namun, ia juga bergantung kepada harga pasaran dan permintaan masyarakat setempat. Penanaman cendawan sememangnya mampu memberikan hasil yang lumayan kepada keluarga Ponguk.

Kemudahan asas
Walaupun Kampung Kokol terletak jauh daripada arus pemodenan bandar, namun penduduk kampung  tetap menikmati kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Semua rumah penduduk mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air. Bekalan air diterima secara percuma daripada air bukit dan sekali gus mampu mengurangkan beban penduduk kampung.
Selain itu, kemudahan kesihatan, pendidikan dan rekreasi juga disediakan untuk penduduk kampung. Klinik desa contohnya mampu meningkatkan taraf kesihatan penduduk kampung. Begitu juga dengan kemudahan pendidikan di mana setiap penduduk kampung boleh menghantar anak-anak mereka ke pra-sekolah dan sekolah rendah yang terdapat di kampung. Terdapat  tiga gereja yang memudahkan penduduk kampung menjalani aktiviti keagamaan. Kampung Kokol juga mempunyai sebuah dewan mini di mana mereka akan melakukan pelbagai aktiviti di dewan  tersebut seperti menyambut Pesta Keamanatan dan bermain badminton.

Meningkatkan kesihatan penduduk
Bagi menjamin serta meningkatkan kesihatan penduduk kampung, Klinik Desa Kampung Kokol menawarkan perkhidmatan kepada penduduk Kampung Kokol dan kawasan sekitar. Terdapat dua orang Jururawat Masyarakat yang bertugas di klinik ini. Mereka akan bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Masa yang diperuntukkan untuk membuat pemeriksaan kepada setiap pesakit adalah 10 minit. Namun, sekiranya mereka menerima kes-kes kecemasan, pihak klinik akan menghantar pesakit tersebut ke Hospital Menggatal.
Setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh Klinik Desa Kampung Kokol akan dikenakan bayaran. Kos rawatan kesihatan kanak-kanak, ibu mengandung, imunisasi dan pap smear dikenakan bayaran sebanyak RM15.00 manakala kos bersalin dikenakan bayaran sebanyak RM100.00 Dengan adanya penyediaan pelbagai perkhidmatan, ia memudahkan penduduk kampung untuk menerima sebarang rawatan kesihatan sekali gus dapat meningkatkan taraf kesihatan penduduk setempat.

Taraf Pendidikan
Kampung Kokol hanya mempunyai sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol dan sebuah pra sekolah. Bagi pelajar yang telah menamatkan peringkat rendah, mereka akan menyambung peringkat menengah di sekolah-sekolah menengah sekitar Pekan Menggatal. SK Kokol telah ditubuhkan pada 23 Februari 1955. Ia ditubuhkan untuk memberikan pendidikan kepada penduduk setempat. Kini, SK Kokol mempunyai 144 orang murid, 14 orang guru, lima orang kaki tangan sokongan dan tiga orang pengawal keselamatan. Mereka sama-sama menggembleng tenaga untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk anak-anak Kampung Kokol. Pencapaian akademik terbaik SK Kokol  ialah pada tahun 2007 apabila seorang pelajarnya iaitu Carla Francis mendapat 5A  dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bagi membantu pelajar miskin, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan memberikan sejumlah wang kepada pihak sekolah dalam masa setahun untuk memberi bantuan kepada pelajar yang kurang mampu. Selain itu, SK Kokol turut menyediakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada pelajarnya. Di bawah rancangan ini, pelajar miskin diberi bantuan berupa makanan pada waktu rehat. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) juga diberikan kepada para pelajar. Ia bertujuan untuk memberikan bantuan sekali gus meringankan beban ibu-bapa para pelajar. Selain itu, para pelajar turut menerima bantuan pakaian seragam sekolah, susu sekolah, buku, pen dan pensel yang disumbangkan oleh pihak Yayasan Sabah.
Bagi meningkatkan motivasi dalam kalangan pelajar, pihak sekolah juga sering mengadakan Kem Motivasi serta membuat kelas pemulihan. SK Kokol pernah menerima anugerah kerana memperoleh keputusan 100 peratus dalam peperiksaan UPSR pada tahun 1997 dan Anugerah Peningkatan Peratus Lulus melebihi 100 peratus UPSR pada tahun 2007.

Keselamatan
Keselamatan sesebuah kampung sememangnya memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk memelihara keamanan dan keharmonian kampung. Bagi menjaga keselamatan kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Kokol memainkan peranan yang penting dan sentiasa berusaha untuk mewujudkan keadaan yang aman dan damai di kampung.
Di Kampung Kokol, tiada balai polis yang dibina khusus untuk menjaga keamanan kampung. Sekiranya penduduk kampung menghadapi masalah, mereka boleh melaporkan masalah tersebut di Balai Polis Pekan Menggatal. Namun, setakat ini belum pernah lagi perkara-perkara yang tidak diingini seperti kes rompakan dan kes pecah rumah berlaku di Kampung Kokol.

POTENSI DAN KEISTIMEWAAN
            Berdasarkan kajian yang telah kami buat, tempat ini sangat berpotensi untuk dibangunkan. Di Kampung Kokol ini terdapat sebuah bukit yang boleh dijadikan sebagai tempat sukan pelancongan. Keadaan geografi yang bertanah tinggi memenuhi ciri-ciri sukan luncur udara iaitu lebih dikenali sebagai paragliding. Sukan luncur udara atau paragliding semakin  popular di rantau Asia.  Pendedahan mengenai sukan ini selalu dipaparkan di media-media cetak dan media broadcasting, kerana melaui sukan ini dapat menarik perserta-perserta dari luar negara serta pelancong-pelancong dari jauh. Walaubagaimanpun keraguan akan risiko tinggi, selain ianya dianggap sukan mewah kerana memerlukan kos yang tinggi adalah salah satu rintangan bagi sebahagian masyarakat, akan tetapi itu tidak lah menjadi halangan bagi pengemar-pengemar sukan tersebut dan sesiapa yang ini terbang tanpa ‘sayap’.
         Paragliding adalah diilhamkan berasaskan kepada burung helang. Sonsoluyon pula dalam bahasa Dusun bermaksud, burung layang-layang seperti yang digambarkan dalam tarian Sumazau yang terbang bebas dan megah di ruang udara. Sebenarnya sukan ini adalah selamat sekiranya mengikuti langkah dan melalui proses latihan yang betul. Semua golongan boleh mencuba dan me- rasai kehebatannya. Atas usaha beberapa orang peluncur udara tempatan untuk mempromosi kawasan tersebut melalui internet, maka lokasi tersebut telah mula menarik perhatian peluncur-peluncur udara dari Sarawak, Brunei dan Semenanjung Malaysia, ke Bukit Kokol untuk mencuba tapak luncur udara ini. Pada setiap hujung minggu, Bukit Kokol telah menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk melihat juruterbang paragliding bermain di udara sepanjang hari.
         Kedudukan Bukit Kokol yang terletak pada ketinggian puncak 2500 kaki (830 meter) dari atas paras laut dan memiliki keadaan angin yang amat sesuai untuk meluncur di udara iaitu 2.3km/h Timur. Pada waktu-waktu tertentu, juruterbang boleh meluncur di udara sehingga dua jam lamanya. Ada yang mampu naik sehingga mencecah awan. Sesungguhnya pengalaman sedemikian merupakan cabaran yang diinginkan oleh peluncur mahir. Lokasi bukit kokol dari Kota Kinabalu adalah 32.5 km. Suhu adalah dalam keadaan 26 ° C / 78,8 ° F. Bukit ini dapat dilihat dari Kota Kinabalu kerana merupakan sebahagian daripada lapisan lebih rendah daripada Crocker Range. Dari Bukit Kokol, pemandangan sekitar bandar Kota Kinabalu boleh dilihat. Suhu di bukit tersebut juga selalu sejuk, terutama sekali pada waktu malam. Di belakang Bukit Kokol pengunjung juga boleh melihat Gunung Kinabalu dan bukit-bukit yang terdapat di daerah Kiulu. Beberapa kampung dan resort juga terdapat di sekitar kawasan Kampung Kokol. Antara kampung yang dapat dilihat di sekitar Bukit Kokol  ialah Kampung kokol dan Kampung Kobuni.  Kemudahan seperti resort juga boleh didapati di sekitar kawasan Bukit Kokol iaitu Kasih Sayang Resort dan juga Grace View Lodge. Jalan ke Bukit Kokol adalah baru dinaik tarafkan. Oleh itu, semua jenis kenderaan boleh melalui jalan tersebut untuk sampai ke Bukit Kokol. Tempat ini menarik kerana boleh melihat secara langsung pemandangan Kota Kinabalu, dari daerah Menggatal dan Sepangar ke pantai Kinarut dan papar. Selain itu, pelancong juga dapat menikmati keindahan matahari terbit dan terbenam dari bukit kokol. Perjalanan ke puncak bukit kokol mengambil masa 20 minit dari Menggatal. Perjalanan ke bukit ini juga boleh malalui Kiansom dan Kiulu, tapi jalan terbaik untuk ke Bukit Kokol adalah daripada Menggatal.

5 comments:

  1. Helo...sy tertarik dgn penceritaan Kg Kokol. sy ingin bertanya keadaan jln ke Kasih Sayang Resort? Adakah jln sudah berturap atau grabel..tq

    ReplyDelete
  2. Selamat kah driving sana malam?

    ReplyDelete
  3. Pernahkah berlaku kes org kesarungan makhluk halus

    ReplyDelete